Thursday, December 22, 2005

Oleh : Ruuhil Haya

Tarikh : 26 Jun 2005, 8:52 pm




Bismillahirrahmanirrahim.

Benar, ilmu itu ada di mana-mana. Ilmu akan diperolehi
oleh sesiapa sahaja yang gemar memerhati dan berfikir
akan pemerhatiannya.

Seperti biasa rutinku, boarding the train to my
workplace. Selalunya, untuk mengatasi kebosanan
perjalanan itu aku memilih untuk tidur, atau sekadar
memejamkan mata, berpura-pura tidur kerana tidak
sanggup melihat aurat yang sengaja didedahkan. Semoga
Allah memberi petunjuk kepada mereka. Penulisan kali
ini bukan berkisar pada soal ini, tetapi ada satu
perkara yang menarik perhatianku tadi.

Tadi aku memilih untuk tidak tidur tetapi membawa dua
majalah untuk dibaca. Satu majalah Mingguan Famili dan
satu lagi majalah Muslimah. Sedang ralit membaca satu
artikel tentang Saidina Abu Bakar As Siddiq, tiba-tiba
ada satu pasangan masuk lantas seorang gadis dan
seorang pemuda bangun memberikan tempat duduk pada
pasangan itu. Lagaknya macam pasangan istimewakan?
Bagus juga pemuda dan pemudi itu. Berbudi bahasa. Si
suami mendukung seorang anak perempuan yang serasaku
mungkin belum boleh merangkak. Dia juga menggalas
sebuah beg pakaian. Si isteri menggalas sebuah lagi
beg pakaian dan beg tangannya. Isterinya duduk
disebelahku. Anak yang comel, hampir semua yang ada di
sekitar kawasan tempat duduk itu diam, seolah-olah
memfokus perhatian kepada pasangan itu. Tidak kurang
juga yang mengagah anak kecil comel itu, yang
kadang-kadang tersenyum seolah faham agahan orang di
sekelilingnya. Aku terus membaca. Mataku pada barisan
ayat-ayat di majalah tetapi telingaku mencuri-curi
mendengar perbualan pasangan istimewa itu.

Ada yang bisa ditangkap deria pendengaranku…ada yang
tidak. Pelik, selalunya aku tidak ambil peduli apa
yang orang lain buat atau bualkan. Tetapi pasangan ini
benar-benar menarik perhatianku..dan juga orang-orang
di sekeliling. Pasangan itu pula berbual-bual
seolah-olah tiada yang memerhatikan mereka.

Pukul berapa sayang?”. Tanya si suami.

Si isteri lantas mengeluarkan jam tangan dari dalam
beg tangannya, menekan punat pada jam itu,
meletakkannya di telinga dan menjawab “nine thirty
three bang”. “Ya?”. Sekali lagi diulang si isteri
dengan nada mesra seperti jawapan pertama tadi “nine
thirty three bang”. Suami angguk, tanda faham.

Sesekali, si suami mengagah anak kecil comel itu,
berkomunikasi dengan si anak. “Tengok atas ya?
Lampu…lampu.” Mengajar anak yang belum mampu bertutur
itu.

Majalah ditutup setelah artikel itu usai dibaca. Ada
yang lebih menarik perhatian.

Laparla bang?. Abang lapar tak?”.

Lapar?. Abang dah makan sikit tadi. Takpela…nanti kita
makan dulu.”

Kadang-kadang aku menoleh ke arah mereka. Mereka tidak
sedar itu. Nampak bahagia, walaupun pakaian dan
beg-beg yang digalas itu menggambarkan mereka bukanlah
pasangan yang kaya wang ringgit. Tapi mereka kaya
kasih sayang. Mereka bukanlah pasangan yang kaya rupa
tapi kaya budi bahasa. Rasa tersentuh hati mendengar
bicara keduanya. Seolah cinta dan kasih sayang
melimpah ruah antara keduanya.

Terfikir di sudut hati. Teringat seorang wanita yang
pada pengamatanku cukup pakej. Cantik, badan lawa,
bijak, kaya, terkenal. Suaminya pun cukup pakej.
Kacak, bijak, berharta dan ramai kenalan berpengaruh.
Dikurniakan Allah seorang putera yang tentu sahaja
mewarisi kecantikan dan kekacakan ibu bapanya. Tetapi
mereka akhirnya berpisah walau usia perkahwinan masih
muda. Salah siapa?

Bila akal membandingkan antara dua pasangan ini, hati
tertanya-tanya. Aku mahu jadi yang mana? Kalau anda
pula, anda mahu jadi yang mana?

Sehingga detik ini tinggal lagi 58 hari aku akan
bergelar isteri. Tentu sahaja siapa pun yang akan
berkahwin mengimpikan sebuah rumahtangga yang harmoni,
dengan kasih sayang yang melimpah ruah. Anak-anak yang
soleh solehah. Biar tidak mewah harta, tapi mewah
kemesraan.

Perkahwinan memang mengundang seribu masalah. Masalah
duit, privacy, cemburu, konflik hubungan kekeluargaan,
kerenah ibu mertua, suami pemalas, isteri tak pandai
berhias dan seribu jenis lagi. Kadang-kadang perkara
kecil pun boleh jadi isu yang besar! Kalau dah tahu
begitu, mengapa mahu berkahwin?

Ada bermacam alasan seseorang itu mahu berkahwin.
Sebagai Muslim, kita beriman bahawa setiap sesuatu itu
diciptakan berpasang-pasang. Antara lelaki dan wanita
diciptakan perasaan kasih sayang dan rahmah antara
keduanya supaya mereka dapat meneruskan keturunan dan
hidup dalam rukun aman damai. Ini firman Allah, Surah
Ar Rum 30: 21.

Dari firman Allah ini menunjukkan Allah mengglakkan
kita berkahwin. Agama lain seperti Buddha, Kristian
menganggap ‘celibacy’ (membujang seumur hidup) sebagai
suatu pengorbanan yang besar. Tetapi Islam sebaliknya
menggalakkan perkahwinan kerana Islam itu agama yang
tidak menyalahi fitrah. Berpasang-pasangan itu kan
fitrah manusia. Tidak hairanlah ramai ulama’ agama
lain yang mempunyai anak luar nikah sesama mereka.
Nabi pernah bersabda bahawa apabila seseorang itu
berkahwin maka dia telah menyempurnakan sebahagian
agamanya, dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah
untuk menyempurnakan sebahagiannya lagi.

Islam juga melihat perkahwinan itu sebagai ibadah.
Sehinggakan hubungan intimasi antara pasangan juga
adalah ibadah. Nah! Untungkan menjadi penganut agama
ini?

Hampir sebulan lepas, aku mengikuti satu kursus
pra-perkahwinan. Sekadar untuk mendapat ilmu walaupun
kursus itu tidak menawarkan sijil dari autoriti yang
sepatutnya. Alhamdulillah, bukan senang nak mendengar
orang berpengalaman berkongsi cerita dan pengalaman
yang sedikit peribadi. Suatu yang menarik adalah
kenyataan salah seorang penceramah dari Singapura.
Katanya “Perkahwinan itu adalah satu perjudian yang
boleh dimenangi”.

Perjudian itu biasanya kan berdasarkan nasib? Sebab
itulah ia diharamkan! Tapi ada juga ya perjudian yang
pasti dimenangi?

Pada pandanganku, bila berkahwin, kita berserah pada
Allah bahawa dialah pasangan kita seumur hidup. Siapa
yang sebelum kahwin yakin bahawa inilah pasanganku?
Tidak ada kan?. Kita tidak pernah tahu itu. Kerana ia
adalah ketentuan Allah di Luh Mahfuz, yang tercatat
sebelum kelahiran kita lagi. Walaupun hakikat itu
sukar ditanggap rasio kita yang maha lemah ini, tetapi
hakikat itu teramat mudah bagi Allah Taala. Itukan
pasrah namanya? Berserah pada Allah setelah berusaha
meminta redhanya lewat istikharat mahupun solat hajat.
Kita perjudikan masa depan untuk bersamanya. Tetapi
Islam sebagai ‘way of life’ telah memberikan garis
panduan bagaimana mahu memenangi perjudian ini.
Kajilah Al Quran dan Sirah Rasulullah. Anda akan
mendapat panduan bagaimana membahagiakan isteri,
bagaimana pula si isteri menjadi permata hati suami.
Teringat satu lagi Hadith Nabi yang mafhumnya: yang
terbaik antara kamu ialah yang paling baik kepada
pasangannya dan keluarganya.

Mengambil Rasulullah sebagai model, tentu ramai yang
berazam untuk menjadi suami isteri yang soleh solehah.
Syabas! Anda telah memulakan hidup berkeluarga dengan
niat yang baik. Pernah kusuarakan kebimbanganku kepada
seorang sahabat yang insyaAllah akan menjadi suamiku.
Kebimbangan akan pelbagai kelemahan diri, kecacatan
pada peribadi, kekurangan ilmu. Takut nanti gagal
menjadi isteri yang baik.

Jawapannya ringkas “Usahlah berimpian tinggi-tinggi
sangat mahu menjadi suami soleh atau isteri solehah.
Buatlah paling baik yang kita termampu. Terimalah
kekurangan satu sama lain. Apa kalau nanti kita bukan
suami soleh atau isteri solehah kita bukan seorang
yang baik?. Ana ada kelemahan. Anti pun sama.”

Ya. Kita hanyalah sekadar umat akhir zaman yang tipis
iman. Teruslah berusaha memahami perbezaan dan
menerima kelemahan pasangan anda.

Kembali kepada cerita pasangan tadi. Memang mereka
pasangan istimewa. Anda tahu kenapa? Mereka cacat
penglihatan! Sudah tentulah perkahwinan itu bukan
didasari kecantikan fizikal. Mereka tidak mampu
melihat dengan mata. Tetapi hati mereka bersatu kerana
mereka memiliki cinta kasih sayang yang dilihat dengan
mata hati.

Pasangan itu turun di KL Sentral. Walaupun mereka
telah turun, saya masih berfikir-fikir .Semoga mereka
bahagia selamanya. Saya dan anda yang membaca artikel
ini pun mampu bahagia. Selamat berbahagia.


1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

hehehe...amboi pasal bahagia...pasal kawin...insyaAllah, Asma' akan dikurniakan suami yang betul2 soleh utk memimpin Asma' ke jalan kebenaran...orang yang baik insyaAllah akan mendapat pasangan yang baik jgk...

8:42 PM  

Post a Comment

<< Home


I WANNA BE DIFFERENT, I WANNA STAND OUT,.... I WANNA BE ME

"FReiNds 'n FLowERs 'r MUcH 'dA sAMe, wHEn THey'rE TOGAther, soMeTHinG bEAutIful wILL hAPPen..." by ASMA' ALI