Friday, June 08, 2007

Bahasa Melayu ke Bahasa Malaysia? entry ketinggalan zaman

Bahasa Melayu ke Bahasa Malaysia?














Penukaran istilah bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia untuk kegunaan rasmi tidak perlu, malah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 152 yang menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Presiden Persatuan Linguistik Malaysia Dr Awang Sariyan menegaskan, taraf dan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan berasaskan kontrak sosial sebelum kemerdekaan lagi, iaitu penerimaan semua rakyat tanpa mengira keturunan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Justeru katanya, tidak timbul isu kaum-kaum bukan Melayu tidak menerima bahasa Melayu sebagai bahasa milik semua rakyat.

"Jika sekarang timbul rasa tidak memiliki bahasa itu, maka salahnya pada golongan yang berkenaan, bukan pada istilah 'bahasa Melayu'," katanya.

Jelasnya lagi penukaran istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia tidak mempunyai perkaitan dengan pemartabatan bahasa Melayu, kerana nama bahasa Melayu telah lebih dua alaf menjadi bahasa yang bermartabat dan menjadi tonggak tamadun.

"Untuk memartabatkan sesuatu bahasa, yang penting ialah usaha meluaskan penggunaannya dalam segala bidang kehidupan masyarakat, bukan menukar namanya," tegasnya lagi.

Penyandang pertama Kerusi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) ini juga berpendapat sebagai sinonim bagi bahasa Melayu, istilah bahasa Malaysia tidak salah digunakan, tetapi bukan untuk dirasmikan sebagai istilah pengganti bagi bahasa Melayu.

Bagaimanapun katanya, Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara mesti dihormati kerana dalam Perlembagaan yang sah dan rasmi ialah 'bahasa Melayu'.

Jemaah Menteri pada April lalu mengambil keputusan menukarkan istilah bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia, dikatakan bertujuan mewujudkan semangat bahawa bahasa Malaysia milik semua tanpa mengira kaum.

Sehubungan itu, semua kementerian dan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta diarah memaklumkan kepada jabatan serta agensi masing-masing untuk menggunakan istilah bahasa Malaysia dalam surat-menyurat, notis dan dokumen, berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, langkah itu juga bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahukan bahasa kebangsaan itu menjadi milik semua rakyat Malaysia serta bertujuan mengelakkan polemik daripada pihak yang menganggap ia hanya untuk kaum tertentu sahaja.

[credit to: encik Faisal Tehrani] : )

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


I WANNA BE DIFFERENT, I WANNA STAND OUT,.... I WANNA BE ME

"FReiNds 'n FLowERs 'r MUcH 'dA sAMe, wHEn THey'rE TOGAther, soMeTHinG bEAutIful wILL hAPPen..." by ASMA' ALI